Monday, October 19, 2015

Pelajar hardcore masuk kelas tambahan

Hari ini untuk pertama kali masuk kelas Sinar Pagi (nama yang diberikan oleh SU Kurikulum) untuk kumpulan 5.

Rata-rata mereka terdiri daripada pelajar yang markah Percubaan SPM bawah 8 markah.

Untuk 6 hari sebelum peperiksaan SPM sebenar, mereka perlu hadiri kelas khas tambahan untuk mereka bagi membantu mereka lulus SPM BM nanti.

Harapan?

Saya tidak mahu perkatakan tentang jangkaan atau harapan atau pun target. Yang mahu saya kongsikan ialah kisah mendorong mereka dalam kelas ini.

Saya dan pelajar-pelajar baru saya ini masuk ke bilik pengurusan kokurikulum yang telah ditetapkan untuk mereka.

Tempatnya selesa dengan meja mesyuarat dan beberapa buah kerusi namun agak berhabuk.

Apabila tukang bersih sekolah memberikan kain lap kepada saya bersama sebaldi kecil air bersabun, salah seorang pelajar tadi mengambil baldi kecil dari tangan saya dan berkata, "Cikgu , bagi saya tolong"

Saya tidak dapat mengambil gambar pelajar tadi mengelap meja sebab tidak membawa beg tangan ke kelas.

Pelajar tadi begitu ceria biarpun ada kawan-kawannya yang mengusik dan memerli dirinya (dalam bahasa Cina)

Saya tegur kesalahan mereka itu dengan berkata, " Kawan awak telah bantu kita dengan menolong mengelap meja supaya memudahkan awak belajar. Tidak boleh ejek. Awak patut memujinya."

Kepada pelajar tadi, saya menggunakan peluang ini untuk memuji tindakannya yang mahu membantu saya tanpa disuruh-suruh. Jadi, saya menggunakan elemen pernyataan perasaan sebelum pujian.

Kata saya, "Saya kagum ( pernyataan perasaan). Awak mahu membantu saya menggelap meja. Saya sangat suka. Awak dan kawan-kawan awak boleh belajar."

Sedang dia menggelap meja dan pelajar-pelajar lain mula mengambil tempat masing-masing, saya mengambil kehadiran pelajar.

Salah satu tips mendorong pelajar hardcore ialah dengan mengenali mereka. Tahu nama dan ingat nama mereka.

Pada peringkat awal  memang agak sukar namun sepanjang proses pdp , saya kerap memanggil nama pelajar , terutama ketika memantau latihan yang dilakukan oleh mereka .

Pelajar-pelajar ini akan lebih mudah didorong dan mendengar arahan apabila guru mengenali mereka. Apabila menyuruh mereka berbuat sesuatu, sebaik-baiknya guru menyebut nama mereka terlebih dahulu.

Teknik tidak menyiasat kesalahan tetapi sebaliknya memberikan solusi memang sesuai digunakan pada pelajar-pelajar ini.

Ada pelajar yang tidak membawa pen. Saya berikan 2 solusi. Pertama, pinjam pen kawan. Yang ini solusi jangka masa pendek dan pada waktu itu juga.

Solusi yang kedua, esok dan hari-hari ada kelas Sinar Pagi bawa pen atau bawa wang RM 1. Solusi ini untuk jangka masa panjang.

Alhamdulillah! Sepanjang tempoh 2 waktu tambahan itu, pelajar-pelajar membuat latihan.

Ada satu  cerita yang ingin saya kongsi. Cerita berkaitan seorang pelajar perempuan yang sebenarnya berada dalam kumpulan 3.

Dari awal lagi, dia mahu bersama rakan-rakannya yang lain. Saya minta dia masuk ke dalam kelas asal, namun alasan awal gurunya belum datang lagi.

Kemudian, ketika sudah memulakan pdp , saya baru teringat tentang pelajar tadi . Saya minta dia pergi ke kelasnya semula.

Saya menerangkan kepadanya bahawa pdp ikut kumpulan adalah berbeza tekniknya. Dia mendapat markah 15 dalam peperiksaan Percubaan SPM. Lebih cerdik sedikit daripada pelajar-pelajar dalam kumpulan saya.

Saya katakan kepadanya, " Pelajar-pelajar dalam kelas ini, saya berikan karangan mudah yang pendek dan mudah faham serta mudah dihafal (terpaksa guna teknik hafalan bagi pecutan akhir ini). "

Balas pelajar tadi, "Cikgu, saya mahu masuk kumpulan cikgu. Saya faham cikgu terang. Saya tahu buat. Ini lagi faham."

Disebabkan kelasnya jauh daripada kelas saya dan saya tidak mahu pelajar tadi balik ke kelas asal dan tidak masuk kelas yang sepatutnya, saya izinkan dia berada dalam kelas saya.

Sepanjang kelas tadi, saya banyak menggunakan teknik pujian. Asyik memuji bagi setiap tindakan positif.

Mahu duduk dan mula menulis pun dipuji. Tekun menulis juga dipuji.  Mahu mendengar arahan juga dipuji. Pemdek kata, apapun kebaikan dan perbuatan positif mereka, diberikan pujian.

Keduanya, banyak menerangkan kesalahan. Beritahu yang salah itu dan juga beritahu yang betul.

Bagi yang tidak dapat menyiapkan latihan disebabkan masa sudah tamat, saya berikan solusi. Kata saya, " Bawa balik nota edaran itu dan buat latihan di rumah. Esok, bawa ke sekolah. Esok, ada ujian untuk awak."

Sama ada mereka buat tidak buat latihan itu, ezok kita lihat hasilnya.

Okey. Cukup untuk hari ini.

No comments:

Post a Comment