Saturday, October 17, 2015

Perlunya akan tindakan susulan

Apabila memberikan arahan kepada pelajar, pastikan juga arahan diikuti oleh pelajar dan ada tindakan susulan selepas itu.

Misal kata, arahan yang dibuat ialah hantar buku latihan esok pagi. Pastikan pada esok paginya pelajar menghantar buku latihan. Jika ada yang tidak menghantarnya, jumpa pelajar tersebut.

Tidak perlu menyiasat dan bertanya sebab pelajar tidak hantar buku latihan. Hanya ulangi arahan sebelum itu.

Pernah ketikanya ada dua orang pelajar tidak menghantar buku latihan sebagaimana yang diarahkan.

Walaupun pada hari itu, tiada kelas saya bersama pelajar ini, saya carikan juga masa untuk pergi ke kelas mereka. Saya panggil pelajar keluar dari kelas. Kemudian saya maklumkan kepada mereka arahan saya.

"Semalam, saya sudah arahkan kepada kamu supaya menghantar latihan pada hari ini. "(Ayat penyata-ayat menerangkan/memberi maklumat bukan ayat tanya)

Biasanya, pelajar akan memberitahu sebab mereka tidak menghantar buku tanpa ditanya.

Dalam kes tadi, pelajar memberitahu saya, "Saya belum siap latihan itu, cikgu."

Kemudian biarkan pelajar buat ketentuan sendiri waktu dia mahu menghantar latihan.

Lantas saya bertanya, "Bila awak nak hantar?"

Balasnya, "Esok. "

Kemudian, saya berkata, "Baik! Kamu sendiri yang mahu hantar latihan esok. Esok, hantar buku. "

Esoknya, jika pelajar tidak hantar juga, jumpa pelajar itu lagi.

Biasanya, hanya pada peringkat awal pelajar tidak akur dengan arahan.
Apabila dua tiga kali diulang tindakan susulan yang sama, dalam erti kata ambil tindakan juga, insya-Allah , di minda pelajar sudah disetkan bahawa guru serius dengan arahan dan pelajar memang harus akur.

No comments:

Post a Comment